Sunday, March 31, 2013

Bapa borek, anak rintik?


* Bapa borek anak rintik (positif/negatif)
* Kuah tumpah ke nasi (positif/negatif)
* Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari (negatif)
* Ketam ajar anak berjalan lurus (negatif)

Prof. Dr Muhaya ada berkata dalam satu slot ceramahnya, kecelaruan tingkah laku remaja atau kecenderungan ke arah perlakuan negatif anak-anak, berpunca daripada sikap ibu bapa itu sendiri. Kegagalan suami isteri mengemudi rumahtangga mengikut panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, menjadikan corak kelakuan anak-anak turut serong dan cenderung menjadi lebih buruk lagi.

Jadi, jika anak-anak 'tahu' menipu, adakah ia berpunca daripada kesalahan ibu bapa juga? YA/TIDAK.

Di pihak ibu bapa, pasti akan bermuhasabah dan beristighfar setiap kali perlakuan anak-anak mengguris hati. Pasti akan berusaha memperbaiki kesilapan diri di samping memohon kepada Yg Maha Esa agar sikap anak-anak berubah lebih baik demi masa depan mereka sendiri. Usaha gigih ibu bapa memperbaiki keadaan perlu berterusan dan tidak berputus asa dengan ujian Allah SWT kerana ia lebih mendekatkan lagi hubungan ibu bapa denganNYA.

Di pihak anak-anak (yg sudah remaja/baligh dan mampu menentukan baik buruk satu tindakan), seharusnya berusaha mengeluarkan aura positif dalam diri dan menzahirkannya sehingga membentuk sikap positif yg membanggakan keluarga. Keazaman anak-anak perlu lebih teguh untuk membuktikan kepada ibu bapa bahawa mereka mampu menjadi lebih baik daripada jangkaan ibu bapa demi masa depan mereka sendiri yg lebih cerah.

Mengambil iktibar dari kisah Nabi Musa AS, seorang pemuda yg gigih memelihara dua ekor babi (sebenarnya ibu bapa dia). Si anak menunjukkan pekerti mulia sebagai seorang anak walau pun ibu bapanya dilaknat Allah SWT akibat kemungkaran yg dilakukan.

Tidak seharusnya anak-anak meletakkan sepenuh kesalahan kepada ibu bapa yg menjadikan diri mereka 'rosak' atau sering melakukan kesalahan hingga memburukkan sikap mereka. Perlukah wujud lebih banyak karekter 'Anakku Sazali' yg menyalahkan bapanya 'membenarkan' penipuan demi penipuan dilakukannya sehingga dia menjadi penyangak?

Masih belum terlewat untuk ibu bapa memperbetulkan keadaan demi membina keluarga bahagia dengan kembali ke landasan sebenar, DAN perkara ini memerlukan kesedaran serta keinsafan anak-anak agar bangun membentuk jati diri kerana peranan membentuk keharmonian dipikul semua pihak, tanpa perlu menuding jari kepada sesiapa sahaja. INSYAALLAH... Allah SWT will show you the way.

~Just My 2 Cents Opinion~

No comments: